Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Sambutan Muhibah Raya bersama BSJV
17/04/2024

dpmm_170424.jpg

Kemeriahan Syawal terus disemarakkan melalui majlis-majlis Sambutan Hari Raya yang dianjurkan oleh pelbagai pihak di negara ini dalam sama-sama mengeratkan lagi ukhuwah yang terjalin.

Sehubungan itu, gabungan Syarikat-syarikat Usaha Sama Brunei Shell (Brunei Shell Joint Ventures - BSJV) terdiri daripada Brunei Shell Petroleum Sendirian Berhad (BSP), Brunei LNG Sendirian Berhad (Brunei LNG), Brunei Shell Marketing Sendirian Berhad (BSM) bersama-sama Brunei Gas Carriers Sendirian Berhad (BGC), Shell Deepwater Borneo (SDB) dan Shell Exploration and Production Brunei (SEPB) buat julung kalinya menganjurkan Sambutan Muhibah Raya, berlangsung di Dewan Indera Samudra, The Empire Brunei, di sini.

Sambutan Hari Raya berkenaan diserikan lagi dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah BSJV.

Keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah dijunjung dan dialu-alukan oleh Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd. Yussof; Menteri di JPM dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah dan Pengarah Urusan BSP dan Shell Country Chair di Negara Brunei Darussalam (NBD), Agnete Johnsgaard-Lewis.

Dalam sembah alu-aluannya, Agnete Johnsgaard-Lewis menyembahkan bahawa Aidilfitri merangkumi semangat kebersamaan, di mana sambutan anjuran bersama itu memperingati perpaduan yang dipamerkan oleh Shell dan Kumpulan Syarikat gabungan Shell di NBD.

Tambahnya, tahun 1929 menandakan permulaan minyak dan gas di negara ini, dan beliau berbangga kerana kehadiran syarikat-syarikat berkenaan mewakili perkongsian tenaga menyeluruh, dari huluan dan hiliran serta perjalanan dan perkapalan, yang telah mewujudkan nilai bagi NBD selama hampir satu abad.

“Bersama-sama, kami telah mencipta sejarah, pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa, kami telah berinovasi dan menyumbang lebih banyak pencapaian yang boleh saya rumuskan dalam masa yang kami ada bersama di sini hari ini, dan kami telah menyokong pendidikan dan pembangunan ramai pemimpin Brunei yang telah dan terus memberi impak positif kepada industri dan negara," ujarnya.

Sambutan diserikan lagi dengan Persembahan Tarian Tradisional oleh Kumpulan Gentara BWN dan Persembahan Gulintangan dengan dendangan lagu-lagu raya sambil para jemputan menikmati hidangan.

Pada majlis tersebut, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota juga dijunjung melawat Rumah Terbuka Sambutan Muhibah Raya yang mempamerkan Inisiatif Pelaburan Sosial / Tanggungjawab Sosial Korporat daripada gabungan syarikat-syarikat BSJV.

Sebelum berangkat meninggalkan majlis, Duli Yang Teramat Mulia berkenan menerima junjung ziarah dan mengabadikan gambar kenangan bersama para jemputan yang hadir.

Juga hadir pada majlis sambutan berkenaan ialah perwakilan-perwakilan asing di negara ini, pengarah-pengarah urusan dan pengurus besar di bawah BSJV, pegawai-pegawai kanan kerajaan dan swasta serta para jemputan khas.

Antara lain, sambutan ini bertujuan untuk memupuk hubungan dan kebersamaan yang lebih erat, menjiwai semangat perpaduan dan muhibah, di samping mencerminkan skala impak dan sumbangan industri minyak dan gas kepada ekonomi NBD dan ekosistemnya.

Dengan tumpuan khusus pada strategi pelaburan sosial organisasi, setiap hos mempamerkan kemajuan luar biasa dalam kemampanan, kesedaran alam sekitar dan komuniti.

Sebagai penyumbang utama kepada kejayaan pembangunan NBD, adalah penting untuk mengiktiraf peranan penting industri minyak dan gas. Oleh yang demikian, kepentingan memupuk hubungan positif untuk menyemarakkan inovasi dan memupuk kemajuan berterusan mestilah diperakui.​

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto​